top of page

10KM pemangkin semangat kental Palapes Darat UUM

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52

Oleh Madihah Zahira Mohamad Zaki

Emel: madihah_zahira@smmtc.uum.edu.my


Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) adalah program usaha kerajaan yang ingin melahirkan perintis pegawai dari golongan intelek seperti pelajar universiti tempatan. Program ini dahulunya dikenali sebagai ROTU (Reserve Officer Training Unit) sebelum diubah kepada nama terkini, PALAPES. Program PALAPES yang terbahagi kepada dua jenis, darat dan laut ini bertujuan membentuk individu berkualiti, tidak terhad hanya pada sudut intelektual malahan disuntik semangat mempertahankan negara.


Program PALAPES aktif dijalankan di universiti-universiti awam seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Universiti Utara Malaysia (UUM) turut tidak terkecuali dalam menyokong penuh kerajaan dan membantu mencapai matlamat utama penubuhan PALAPES. Hal ini dapat dilihat apabila beberapa anggota Palapes UUM berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda semasa Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-39 Zon Utara Tahun 2022.


Pencapaian Palapes UUM sememangnya wajar dibanggakan kerana usaha mereka yang membuahkan hasil dengan mengharumkan nama universiti disamping menjalankan keutamaan sebagai pelajar. Komuniti pelajar juga sedia maklum bahawa penglibatan diri dalam aktiviti PALAPES bukanlah sesuatu yang mudah. Rekod pembelajaran yang baik serta fizikal yang sihat adalah satu syarat penting bagi seorang anggota PALAPES.


Program PALAPES seringkali diberikan pandangan sebagai satu unit yang dihormati kerana perlu menghadapi pelbagai ujian ketangkasan. Bermula dari peringkat saringan, PALAPES telah pun menunjukkan dengan jelas yang setiap latihan mendatang akan sentiasa mencabar ketahanan fizikal individu. Oleh itu, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang individu itu layak turut serta ujian di peringkat saringan.


Hal ini demikian kerana, pelbagai ujian dan latihan ketenteraan bakal mereka hadapi selepas direkrut menjadi anggota PALAPES. Palapes Darat misalnya mempunya tiga latihan yang diuji iaitu Latihan Tempatan (LT), Latihan Berterusan (LB) dan Latihan Kem Tahunan (LKT). Setiap latihan menyediakan cabaran yang berbeza bagi menguji kekuatan fizikal dan mental anggota.

Menurut Pegawai Kadet Peringkat Senior Palapes Darat UUM, Muhammad Farhan Bin Zulkefli, yang juga merupakan pelajar ijazah sarjana muda pengurusan risiko dan insurans, beliau berpandangan Latihan Kem Tahunan (LKT) adalah peringkat paling mencabar kerana ujian dijalankan di dalam hutan serta memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. “Tiada peringkat yang mudah kerana setiap latihan membekalkan persediaan yang berbeza,” jelas Muhammad Farhan Bin Zulkefli. “Walaubagaimanapun, sepanjang menjadi anggota PALAPES, saya merasakan latihan ini sangat mencabar,” tambahnya lagi.


“LKT adalah latihan yang wajib dijalankan selama 15 hari dalam setahun. Walaupun ujian LKT dibezakan mengikut senioriti, kepelbagaian cabaran dalam peringkat itu sendiri menjadikan LKT sebagai latihan yang paling sukar,” kata Muhammad Farhan Bin Zulkefli. Latihan-latihan bagi peringkat sebelum ini adalah seperti persediaan sebelum menempuh Latihan Kem Tahunan (LKT). Menurut Muhammad Farhan Bin Zulkefli, beliau berpendapat bahawa para anggota perlulah bersiap sedia dan sentiasa menjalani setiap ujian dengan baik.


“Stamina yang kuat sangat diperlukan oleh seorang anggota PALAPES bagi melaksanakan ujian-ujian mendatang. Sekiranya stamina kami berkurangan, perkara ini semestinya memberi impak kepada pencapaian pelaksanaan ujian yang diberikan. Oleh itu, aktiviti joging telah diwajibkan setiap hari bagi Palapes Darat UUM sebagai inisiatif mengekalkan dan penambahbaikan stamina,” tambahnya lagi.


“Aktiviti-aktiviti PALAPES mungkin disifatkan sebagai sesuatu yang menambah kecergasan. Tetapi, sukan berterusan seperti joging adalah sesuatu yang menjadi asas kepada aktifnya seseorang anggota. Palapes Darat UUM wajib berjoging sekurang-kurangnya 2.4 km dan maksimum 10 km. Segala aktiviti joging akan dipantau oleh Ahli Jawatankuasa Sukan (AJK Sukan) melalui aplikasi Strava,” tambahnya lagi.


Menurut Muhammad Farhan Bin Zulkefli, aktiviti joging tersebut mesti diselesaikan mengikut masa dan kelajuan yang ditetapkan. Syarat ini mesti dipatuhi tujuan meningkatkan ketahanan badan untuk ujian-ujian serta latihan wajib PALAPES. Beliau juga menyatakan bahawa anggota PALAPES mesti mengekalkan berat badan yang ideal untuk memudahkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti PALAPES.



Muhammad Farhan Bin Zulkefli turut memberikan pandangan bahawa joging adalah sesuatu sukan mudah, tidak memerlukan apa-apa peralatan yang melibatkan kos. Aktiviti joging ini hanya memerlukan momentum yang tinggi untuk dilakukan secara berterusan setiap hari. Hal ini secara tidak langsung membina semangat dalam diri setiap anggota PALAPES.


Walaupun PALAPES sinonim dengan konsep latihan ketenteraan, namun berjoging adalah satu aktiviti wajib PALAPES yang tidak diketahui ramai. “Menjalani latihan ketenteraan itu sendiri memerlukan fizikal yang baik. Disebabkan itu, setiap anggota perlu rajin bersukan,” kata Muhammad Farhan Bin Zulkefli. Berjoging setiap hari terbukti dapat meningkatkan kecekapan sistem jantung yang diperlukan bagi aktiviti jangka masa panjang.


“Palapes Darat UUM mempunyai banyak latihan berterusan yang harus dilaksanakan oleh setiap anggota. Badan yang tidak terbiasa dengan aktiviti sukan semestinya akan kurang bertenaga dan sukar melaksanakan ujian dengan baik,” kata Muhammad Farhan Bin Zulkefli. Kurang penglibatan dalam bersukan akan menjejaskan pencapaian seseorang anggota.

Ramai orang memberikan tanggapan bahawa latihan kawad adalah perkara wajib PALAPES bagi meningkatkan keupayaan fizikal dan mental. Walaubagaimanapun, Ketua Kadet Peringkat Senior ini memberikan pandangan bertentangan yang mana latihan kawad sebenarnya kurang diberikan fokus kerana aktiviti tersebut tidak dapat menjamin ketahanan fizikal bagi ujian-ujian lain.


Latihan kawad lebih kepada pembentukan rasa tanggungjawab dalam diri seseorang anggota melalui konsep menepati masa dan peningkatan tahap fokus bagi ujian mendatang. Muhammad Farhan tidak menolak bahawa latihan kawad ini memberikan kesan pada fizikal anggota PALAPES, namun beliau melihat latihan kawad sebagai suatu latihan yang lebih kepada ketahanan mental.


Aktiviti sukan seperti joging adalah latihan berterusan sebenar seorang anggota untuk membina ketahanan fizikal dan mental yang lebih baik. Kewajiban berjoging setiap hari juga menghasilkan cabaran-cabaran tanpa disedari. Sebagai contoh, anggota PALAPES sendiri terdiri daripada kalangan pelajar yang mana mereka turut mempunyai tugas-tugas wajib sebagai seorang pelajar. Jelas bahawa aktiviti joging yang diwajibkan ini pastinya mencabar semangat mereka dalam membahagikan masa dengan baik.


Penglibatan dalam PALAPES sendiri memerlukan satu semangat besar kerana perlu mendepani pelbagai ujian serta latihan yang berat. Oleh yang demikian, wujudnya aktiviti joging ini bukan sahaja sebagai persiapan ujian, malahan dijadikan pemangkin semangat untuk menjadi seorang anggota yang berwibawa.


Joging barangkali diangggap sebagai bukan sukan kerana bentuk aktiviti yang mudah dan kerap dilakukan dalam kehidupan harian. Namun, sekiranya memahami konsep joging secara mendalam, ia jelas memberikan banyak kelebihan pada tubuh badan. Kewajiban joging ini tidak dinafikan akan meningkatkan disiplin anggota Palapes Darat UUM sertaa.


Comments


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page