top of page

CHESS: STRES ATAU DI SEBALIKNYA?

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52



Kelab Catur Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan kelab dari UUM yang diwujudkan untuk menteraskan lagi kemegahan catur di kalangan mahasiswa dan mahasiswi UUM. Kelab ini juga giat dalam menganjurkan program-program seumpama pertandingan bagi mencungkil bakat para pelajar. Bukan itu sahaja, Kelab Catur UUM juga menganjukan program-program mengumpul dana bagi golongan-golongan yang memerlukan.

Kelab ini juga ditubuhkan untuk mendedahkan pelajar dan juga warga UUM dengan sejarah catur yang begitu menarik dan luas. Apabila mengupas balik sejarah permainan ini, seperti permainan moden kini, chaturanga atau catur pada masa dahulu dimainkan pada grid 8x8 dan menampilkan kepingan yang umumnya serupa dengan catur moden. Catur mungkin kelihatan ketinggalan zaman, tetapi jangan memandang rendah kuasa permainan lama ini.

Ia adalah salah satu permainan yang tertua dan paling banyak dimainkan di dunia dan telah mencapai kepentingan budaya dan intelektual yang boleh dipadankan dengan beberapa aktiviti lain. Walau bagaimanapun, tidak boleh dinafikan sukan catur belum begitu popular di negara kita. Hal ini berkemungkinan kerana ramai beranggapan seperti pemain catur tidak mahir bersosial ataupun pemain catur mesti mempunyai kemahiran ingatan yang menakjubkan.

Disebaliknya, permainan catur ini mempunyai pelbagai kebaikan lagi. Selain mengembangkan perspektif pemain, catur juga mampu meningkatkan pengingatan para pemain. Ia melibatkan penghafalan pelbagai kombinasi pergerakan dan kebarangkalian hasil daripada setiap pergerakan.

Terdapat juga sesetengah individu yang berpendapat bahawa sukan catur kini mula diminati oleh ramai kerana bukan sahaja ia merupakan permainan professional malah ia mampu menenangkan fikiran para pemain. Secara saintifiknya, sukan yang berasal dari India ini membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan serta membantu mengimbangi minda.

Menurut Nicholas Chong Tang Wing, Naib Presiden Kelab Catur Universiti Utara Malaysia, catur membantu dalam merancang secara strategik serta melihat sesuatu dari perspektif lain kerana dalam sukan catur pemain harus belajar meramalkan pergerakan pihak lawan yang akan datang. Oleh itu, pemain harus bijak menggunakan perspektif orang lain dalam permainan ini.

Tambah beliau lagi, catur boleh membantu anda menghilangkan tekanan. Ia melibatkan fikiran anda sepanjang permainan. Permainan biasa mengambil masa sekurang-kurangnya 80 hingga 90 minit untuk diselesaikan. Sepanjang permainan, anda akan berfikir tentang langkah lawan anda yang seterusnya dan ke mana anda akan memindahkan kepingan anda.

“Semasa menghadiri latihan catur, saya mula berasa tenang kerana fikiran saya hanya tertumpu dalam permainan saya sahaja. Saya berfikir tentang langkah yang seterusnya dan cuba untuk menjadi selangkah di hadapan lawan saya. Saya lupa semua yang mungkin berlaku dalam hidup saya dan otak saya berehat. Sepanjang masa permainan, saya bebas daripada tekanan dan berada dalam kesihatan mental yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata sukan ini sememangnya memerlukan tahap fokus dan kesabaran yang tinggi. Namun, tumpuan oleh pemain juga akan menenangkan minda mereka dengan mengalihkan fikiran daripada perkara yang lain.

“Tiada siapa yang suka berasa sakit atau tertekan apabila melakukan sesuatu. Catur pun begitu sahaja, ia merupakan permainan yang easy-going. Jika catur itu memberi tekanan, tiada siapa yang akan berminat untuk mengambil bahagian di dalamnya dengan rela hati,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, tidak hairanlah jika terdapat sesetengah orang yang mempunyai pendapat bertentangan dengan ahli kelab tersebut. Seorang mahasiswi UUM bernama Priya Tarshini Raja pula berkata pemain-pemain catur sememangnya mampu mengasah kestabilan mental mereka. Namun, pemain tetap berhadapan stres ketika bermain catur.

“Ia menguji kemahiran minda berfikir dalam menyelesaikan masalah dengan bijak. Secara tidak langsung ia melatih imaginasi dan mendisiplinkan kita. Walaupun sesetengah orang berpendapat ia merupakan sukan yang tidak keluar peluh, catur sebenarnya paling banyak guna tenaga,” katanya.

“Oleh kerana itu, ia mengundang kepada stres. Catur sememangnya memerlukan tahap fikiran yang terlalu kritikal kerana ia bukan satu permainan yang hanya boleh dilakukan secara fizikal untuk kamu menang. Jika mengalah dalam permainan tersebut ia menjadikan keadaan kita lebih buruk,” katanya lagi.

Maka seperti semua permainan, jika anda mencabar diri anda dengan terlalu keras atau menolak tahap berkebolehan anda, ia boleh mendatangkan kesan buruk. Oleh itu, hadkan tahap pemikiran yang anda ingin meluangkan dalam satu sesi atau mempunyai masa sesi permainan yang terhad. Sebagai pelajar yang mengendalikan beberapa kerja dalam masa yang sama dan mempunyai rutin harian yang begitu kompleks, catur digalakkan untuk dipratikkan sebagai hobi anda.

Pada masa lapang, anda boleh bermain catur secara dalam talian. Permainan catur secara dalam talian ini amat diminati oleh ramai pelajar di UUM. Hal ini kerana, pelajar tidak perlu ke mana-mana tempat secara fizikal dan boleh bermain dengan rakan mereka secara maya. Tambahan pula, bermain catur secara dalam talian juga lebih sesuai untuk pelajar universiti kerana ia mempunyai permainan solo.

“Saya bermain catur sekurang-kurangnya satu atau dua kali dalam seminggu. Tidak mengira secara dalam talian atau bersemuka bersama rakan-rakannya. Walaupun saya main dalam talian, saya tetap boleh rasa permainan itu seperti yang fizikal. Pesanan saya, jika anda adalah seorang yang berminat dalam permainan catur atau anda berada di tahap beginner, kamu harus menyesuaikan rutin kamu dengan catur,” katanya Priya.

“Chess dulu memang ramai yang tidak pandang tetapi sekarang sudah ada yang mula berminat. Untuk yang tidak tahu, chess adalah more to life. Setiap pergerakan kita buat mesti ada akibat dan tujuannya. Catur juga sangat versatile, ia boleh dimain oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira umur,” katanya lagi.

Perdebatan yang tidak berkesudahan sama ada bermain catur boleh membantu menghilangkan tekanan berterusan. Namun begitu, keberkesanan catur dari segi kestabilan mental bergantung kepada pemain itu sendiri. Jadi, apakah pendapat anda dalam topik ini? Adalah chess merupakan stress atau disebaliknya?


Comments


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page