
Oleh: NUR ‘ATHIRAH SYUHADA BINTI MOHD ZAFREE
Dunia kini tidaklah seperti yang dahulu. Segalanya telah dibawa arus pemodenan. Penciptaan teknologi yang semakin canggih dan moden merubah di segenap penjuru dunia. Walau bagaimana pun, pemikiran marhaen akan sukan tidak berubah sama sekali terutamanya sukan futsal wanita.
Ada saja mulut yang mengatakan bahawa sukan ini hanya untuk lelaki. Wanita tidak boleh sama sekali melibatkan diri dalam sukan ini.Ada yang kata sukan ini terlalu kasar untuk wanita. Jika ada wanita yang bermain futsal sudah pasti mereka akan dicop sebagai ‘tomboy’.
Oleh disebabkan pemikiran-pemikiran negatif seperti inilah yang membuatkan ribuan wanita yang berkebolehan dalam sukan futsal menyembunyikan kehebatan yang mereka ada. Mereka akan dilemparkan dengan pelbagai hujatan dan pandangan negatif.
Walau bagaimana pun, beribu hujatan yang mereka, pemain futsal wanita akan hadapi, namun ada yang tetap teguh berpegang pada impian dan pendirian mereka. Masih tetap berjuang melibatkan diri dalam sukan yang dianggap kelelakian ini
Perkara ini juga telah berlaku pada salah seorang pemain fustal wanita yang juga merupakan seorang mahasiswi di Universiti Utara Malaysia (UUM). Aishah Zahirah Binti Muzam Shah, wakil pemain futsal wanita bagi inasis MISC dan BSN (MISN), telah menghadapi pelbagai kritikan dari orang sekelilingnya kerana minatnya yang kuat dalam sukan futsal.
Meskipun begitu, minat dan semangat Aishah pada sukan tersebut tidak pernah goyah sama sekali. Aishah berkongsi, sukan futsal bagaikan cinta pandang pertama baginya. Sejak pertama kali melihat abang-abangnya bermain futsal di luar rumah, hatinya sudah mulai terpaut pada sukan tersebut.
Bermulalah titik permulaan kisah Aishah dan sukan futsal. Aishah mulai bergiat aktif dan mempelajari asas-asas untuk bermain futsal bersama abang-abangnya. Melihat semangat kesukanan Aishah yang kuat dalam sukan futsal membuatkan abang-abangnya sentiasa menyokongnya. Tiap-tiap petang pasti diajak bermain bersama di halaman rumah atau di padang besar.
Di bangku sekolah, hati Aishah hancur berkecai apabila mengetahui bahawa dirinya tidak berpeluang sama sekali untuk menonjolkan kebolehannya dalam sukan fustal. Perlawanan futsal yang diadakan di sekolah hanya terbuka kepada pemain lelaki sahaja. Di sini jugalah impian Aishah diolok-olokkan oleh rakan-rakannya. Hanya disebabkan Aishah meluahkan rasa minatnya pada sukan futsal.
Namun begitu, walau kesedihan membaluti dirinya, Aishah tetap gagah dan berpegang teguh pada impian dan pendiriannya. Tiada apa yang mampu membuatkan perasaannya pada sukan futsal berkurang walau sedikit pun. Aishah pasti peluang untuk dia menonjolkan diri dalam sukan futsal pasti datang sama ada cepat atau pun lambat.
“Usaha dan kesabaran tidak akan pernah mengkhianati hasil”, kata Aishah. Berkat kesabarannya selama ini, akhirnya sinar harapan untuk dia bergiat aktif dalam sukan futsal kian cerah setelah dia melangkah masuk ke UUM. Kegembiraan Aishah bertambah apabila dia terpilih dalam pemilihan yang diadakan dan berjaya memegang posisi center dan right wing dalam pasukannya.
Kisah perjuangan Aishah dan sukan futsal tidak berhenti di situ sahaja. Pemain futsal wanita yang tidak kenal erti mengalah ini tidak ingin bermain-main sahaja setelah impiannya tercapai. Impiannya semakin mengembang dan membuatkan semangat kesukanannya membuak-buak. Aishah dan pasukannya telah melibatkan dirin dalam perlawanan ‘friendly’ yang diadakan untuk bersaing dengan pasukan futsal wanita dari inasis YMU dan MALTEN.
Pada 6 Jun 2022, pasukan futsal wanita MISN telah bersaing dengan pasukan futsal wanita YMU di gelanggang MISC. Aishah yang memegang posisi penjaga goal pada perlawanan itu berkongsi cabaran dan pengalaman yang dihadapinya ketika itu.
Sebelum perlawanan bermula, ahli pasukan MISN dan YMU berganding bahu membersihkan gelanggang yang pada mulanya agak basah dan kotor. “Kami bermain agak perlahan dan berhati-hati kerana gelanggang yang kami gunakan masih lagi basah,” kata Aishah. Berbeza dengan ahli pasukan YMU yang bermain tanpa memikirkan keadaan gelanggang yang boleh menyebabkan mereka cedera.
Kekuatan pemain YMU sangat digeruni oleh pasukan futsal wanita yang lain kerana ahli mereka terdiri daripada ahli Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES). Walau pun begitu, Aishah dan ahli pasukannya berjaya meraih kemenangan dengan skor 2-1. “Bagi saya, saya amat berpuas hati dengan perlawanan bersama pemain YMU kerana walaupun ahli pasukan saya bermain agak lambat tetapi kami masih mengikuti semua taktik yang dipelajari dan strategik yang telah dibincangkan” tambah Aishah.
Selang beberapa hari iaitu pada 9 Jun 2022, sekali lagi Aishah dan ahli pasukannya telah beradu kekuatan dengan pasukan futsal wanita MALTEN. “Pada perlawanan yang pertama, saya memegang posisi right wing manakala pada perlawan kedua, saya memegang posisi sebagai defender.” kata Aishah.
Pada perlawanan ketiga dan keempat, sekali lagi posisi Aishah berubah dan pada saat itulah bermulanya kebangkitan semangat ahli pasukan MISN. Pada perlawanan yang keempat, ahli pasukan futsal wanita MISN bangkit dan melawan semula pasukan futsal wanita MALTEN. Berkat kesungguhan yang ditunjukkan, akhirnya, pasukan futsal wanita MISN berjaya mengejar skor pasukan futsal wanita MALTEN dengan memperoleh markah seri.
Aishah berkata, “Semangat kami mulai membara apabila kami terdengar suara sorakan daripada rakan-rakan kami dan jurulatih kami”. Aishah sempat berkongsi perasaannya setelah perlawanan tamat. Katanya “Antara perlawanan yang kami ikuti, saya rasa perlawanan kali ini merupakan perlawanan yang sangat kami berpuas hati. Kebangkitan kami di akhir-akhir perlawanan merupakan satu kejutan bagi kami. Namun begitu, kami masih sedar akan kekurangan yang kami perlu perbaiki”.
Kejohanan dalam Karnival Sukan Siswi yang akan berlangsung pada 14 Jun 2022 merupakan harapan dan impian Aishah yang terbesar pada saat ini. Setelah melibatkan diri dalam beberapa perlawanan sukan futsal yang diadakan baru-baru ini, Aishah semakin tamak untuk meraih status johan. “Diharapkan agar tiada lagi perspektif-perspektif negatif yang sering berlegar dalam pemikiran masyarakat hari ini. Bagi saya, jika sukan badminton dan sukan bola keranjang boleh dimainkan oleh pemain lelaki dan pemain perempuan, kenapa ‘tidak’ pada sukan futsal?” kata Aishah.
Pemain futsal Wanita yang aktif ini juga berkata bahawa sukan futsal juga salah satu sukan yang perlu ditonjolkan dan diperkenalkan dengan lebih meluas. Dengan ini, masyarakat Malaysia akan terbuka mata untuk menerima bahawa wanita juga berkebolehan bermain sukan futsal.
Comments