
Oleh: Yusmarina Rosdiana Binti Mohd Rosdi
Email: yusmarina@smmtc.uum.edu.my
Siapa sangka asbab sang covid bermaharajalela di seluruh dunia, hampir meragut puluhan ribu nyawa rakyat jelata, sukan memanah di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi buruan rata-rata pelajar di sana. Sesuai dengan kata pepatah, seperti semut menghurung gula.
Situasi pandemik Covid-19 yang tidak melibatkan terlalu banyak aktiviti secara beramai-ramai sangat sinonim dengan sukan memanah ini. Hal ini kerana sukan memanah ini merupakan sukan persendirian yang tidak memerlukan banyak aktiviti sentuhan berkumpulan berlaku.
Perkara ini lebih jelas lagi dapat dilihat apabila kelab memanah membuat hari terbuka untuk pengambilan ahli baharu dan sambutan yang amat hangat diberikan oleh pelajar di sini. “Setiap hari Selasa dan Ahad, sejak dari kemasukan semula hampir semua pelajar di sini, ada sahaja keahlian baharu dalam kelab memanah ini”, kata Muhammad Suheilmey, naib presiden kelab memanah.
“Pertambahan ahli kelab memanah ini merupakan satu kejayaan yang besar dalam perjuangan kelab itu di UUM. Kelab yang sudah lama agak sepi kini meriah kembali”, jelasnya lagi. Berhubung penutupan sementara kelab memanah ini selama hampir dua tahun, buruan pingat dan pencarian atlet pelapis baharu terpaksa diberhentikan.
Oleh itu, kemasukan keahlian baharu kali ini merupakan sebuah lubuk keemasan untuk para atlet kelab memanah mencari pelapis baharu bagi pertandingan yang bakal dipertandingkan, selain berpeluang melihat sendiri perkembangan pelapis baharu mereka.
“Walaupun pencarian atlet memanah sedang giat dijalankan, namun kebanyakan ahli menyertai latihan memanah hanya sebagai sukan rekreasi. Mereka lebih tertumpu untuk menghabiskan waktu terluang dengan memanah. Namun, ada yang berjuang untuk merebut peluang menjadi sebahagian daripada atlet memanah”, ujarnya.
“Tidak mudah untuk mencari pelapis yang mampu memberi komitmen serta prestasi yang konsisten. Sebaliknya, ia merupakan satu proses yang panjang untuk menilai dan meneliti insan terpilih sebagai pelapis bagi sukan memanah ini. Namun, kehadiran ahli kelab memanah yang sangat memuaskan pada setiap hari latihan memberi sinar harapan kepada kami bagi misi pencarian pelapis”.
“Dapat dilihat keterujaan ahli kelab di sosial media kelab memanah apabila mereka sering bertanyakan perkembangan latihan memanah kerana pada waktu hujan aktiviti memanah tidak dapat dijalankan. Mereka agak kecewa apabila hari hujan kerana mereka tidak berpeluang untuk bermain”.
Atlet memanah UUM, Siti Zahidah menyatakan bahawa pada awalnya dia tidak berminat untuk menyertai aktiviti memanah ini. Namun, disebabkan pengaruh rakannya yang selalu mengajaknya pergi menemani ketika sesi latihan memanah, dia mula membuka mata kepada sukan itu. Siapa sangka di situlah titik tolak dia jatuh cinta dengan sukan memanah.
Atlet memanah UUM itu berbicara tentang kebaikan sukan memanah ini bagi sisi seorang mahasiswa. Ia amat penting dalam membantu mengekalkan kecergasan pelajar terutama apabila berhadapan situasi tekanan yang besar terutama berkaitan tugasan dan tanggungjawab seorang pelajar.
“Sukan memanah ini boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. Seseorang yang memanah menggunakan mata hatinya menjadikannya lebih yakin dan tenang manakala akal yang fokus melahirkan pemikiran yang tajam”.
Selain itu, proses pembelajarannya juga mempunyai pengisian rohani buat mereka yang mendalami seni memanah itu sendiri. “Malah dari segi jasad pula, sekiranya busur panah itu ditarik dengan kaedah yang betul, ia mampu memberi kelegaan kepada badan”, katanya.
Segala jenis pergerakan atau aksi memanah memerlukan ketenangan, termasuk ketika menarik anak panah sebelum dilepaskan dan kemahiran melihat sasaran. Tambahan pula, pemanah menggunakan naluri hati untuk melepaskan anak panah.
Zahidah berkata pergerakan dalam memanah sendiri mempamerkan ilmu seni mempertahankan diri. Maka ia memiliki keunikan tersendiri. Berhubung kemudahan yang disediakan di lapangan sasar, tempat latihan atlet dan ahli kelab memanah, segala kemudahan yang disediakan oleh pihak UUM digunakan dengan sebaiknya.
“Pelajar UUM harus berbangga kerana di sini kita memiliki lapangan sasar yang baik dan berkualiti jika dibandingkan dengan universiti lain. Kebanyakan universiti lain di Malaysia ini tidak menyediakan kemudahan dan peralatan memanah. Pelajar sendiri yang harus menyediakannya dan jika diikutkan, satu busur sahaja sudah mencecah angka satu ribu”,ujarnya lagi.
Oleh itu, merupakan satu kerugian besar jika pelajar UUM sendiri tidak merebut peluang menggunakan kemudahan memanah yang telah disediakan. Rata-rata mahasiswa dari universiti lain begitu teruja dengan kemudahan yang disediakan oleh UUM.
“Sukan memanah ini merupakan sukan yang berbeza dari sukan yang lain. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata namun sesiapa yang menghayatinya akan merasai auranya tersendiri”, ujarnya. Sempat lagi atlet kelab memanah itu mempromosikan tentang kelab memanah mereka kerana hari terbuka kelab ini dibuka setiap minggu mengikut waktu yang diberitahu sebelum ini.
Dengan demikian, galakan serta kemasukan seluruh warga UUM untuk menyertai kelab ini merupakan satu agenda baharu buat kelab memanah ini. Naib Presiden Kelab Memanah UUM mengharapkan supaya sukan atau aktiviti memanah di UUM dapat diperluaskan lagi bilangan ahlinya tanpa mengira bangsa.
Comments