
Oleh NUR AUNI IZZATUL SHAIDI
Emel : nur_auni_izzatul@smmtc.uum.edu.my
Sejauh manakah bola baling diketahui oleh umum ? Bola baling merupakan salah satu sukan di mana dua pasukan bersaing dimana pemain-pemainnya menghantar bola dengan menggunakan tangan mereka dengan tujuan untuk membalingnya ke dalam gawang pasukan lain. Di Universiti Utara Malaysia (UUM), sukan bola baling semakin mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar terutamanya bagi pelajar-pelajar perempuan. Banyak pelajar perempuan yang melibatkan diri dengan menyertai pasukan-pasukan bola baling,
Penyertaan ahli pasukan bola baling antara inasis amat menggalakkan. Hal ini berlaku terutamanya apabila UUM membenarkan semua pelajar-pelajar untuk ke inasis masing-masing. Maka, peluang untuk pelajar-pelajar menubuhkan pasukan bola baling dan menjalankan latihan adalah amat menggalakkan. Hal ini dapat dilihat apabila semua inasis mempunyai pasukan atau kumpulan bola baling dibawah inasis sendiri terutamanya inasis Malaysia International Shipping Corporation (MISC) dengan inasis Bank Simpanan Nasional (BSN) yang digabungkan menjadi MISN.
Pasukan bola baling MISN terdiri daripada beberapa kumpulan yang melibatkan dua kategori iaitu lelaki dan perempuan dan di dalam kategori ini terdapat lagi beberapa kumpulan iaitu A dan B. Setiap pasukan dan kumpulan mempunyai kapten atau ketua dan mengetuai 11 orang ahli yang lain.
Pasukan bola baling perempuan MISN (A) telah diketuai oleh Nur Azra binti M. Abu Zakin dan mempunyai 12 orang dalam pasukan tersebut. Pasukan ini sering menarik perhatian kerana proses latihan yang dijalankan oleh mereka untuk bersedia meraih kemenangan dimana-mana pertandingan. Walaupun baru berjumpa dan kenal antara satu sama lain, mereka mempunyai Kerjasama yang baik ketika menjalani latihan yang hamper setiap hari dalam seminggu.
Apabila ditanya kenapa melibatkan diri dengan sukan bola baling, ketua pasukan memberitahu bahawa sukan bola baling semakin dilupakan dan tidak diminati terutamanya remaja dan pelajar universiti. Oleh itu, pasukan ini ingin menaikkan dan menggilap semula sukan bola baling ini disamping kerana minat mereka yang mendalam terhadap sukan ini.
“Banyak pertandingan yang akan disertai oleh pasukan kami dan yang paling utama dalam masa terdekat ialah Sukan Universiti Utara Malaysia (SUKUUM) dan pertandingan terbuka yang lain yang dianjurkan di sekitar mahupun diluar UUM,” kata Nur Azra selaku kapten pasukan. Pertandingan ini dapat dijadikan sebagai medium mereka untuk menyerlahkan bakat dalam bola baling dan mengetahui kelemahan-kelemahan mereka ketika bermain.
Sebelum ini, pasukan ini pernah menyertai pertandingan persahabatan antara inasis, namun nasib tidak menyebelahi kerana mereka tidak dapat meraih tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Oleh sebab ini, mereka ingin menebus kembali kekalahan mereka dengan melakukan latihan bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan.
Sebagai persediaan untuk menyertai pelbagai pertandingan yang dipertandingkan, latihan giat dilakukan untuk menyediakan ahli pasukan menghadapi pertandingan yang akan datang disamping tujuan utama untuk menguatkan serta mengekalkan stamina badan. Stamina yang kuat amat penting untuk atlet supaya kekal aktif dan tidak mudah berasa Lelah terutamanya ketikan dalam pertandingan.
Pasukan Bola Baling Perempuan MISN (A) menjalankan latihan lima kali seminggu pada setiap petang. Masa yang ditetapkan untuk latihan ialah antara pukul 5 petang hingga 7 malam di padang dan juga gimnasium yang terletak di Pusat Sukan UUM.
“Latihan yang dijalankan di padang berfokuskan kepada untuk mempelajari dan berlatih teknik dan skil yang terdapat dalam permainan bola baling seperti cara untuk menghantar dan menangkap bola,” kata salah seorang ahli pasukan bola baling ini. Ahli pasukan juga turut menambah bahawa latihan di padang amat penting kerana teknik perlu diasah dan dipelajari dengan kerap kerana mampu mempengaruhi permainan ketika perlawanan.
Ketangkasan ahli pasukan dalam menghantar dan menangkap bola diperhatikan apabila mereka berlatih dipadang. Ketangkasan amat penting untuk mengalahkan pihak lawan dan merebut peluang yang ada dalam setiap pertandingan.
Gimnasium juga menjadi pilihan pasukan ini sebagai tempat menjalankan latihan. Hal ini kerana terdapat fasiliti lengkap seperti dumbbell yang dapat membantu mereka melakukan aktiviti latihan mereka. Ketua pasukan turut menekankan bahawa gimnasium merupakan tempat yang lebih privasi daripada tempat yang lain dan mereka dapat melakukan aktiviti tanpa berasa malu dan tidak selesa.
Di gimnasium pula, aktiviti yang dilakukan adalah tertumpu ketahanan kardiovaslukar ahli pasukan. Aktiviti yang sering dilakukan adalah seperti lompat bintang untuk menguatkan perut dan kaki supaya tidak mudah penat ketika perlawanan berlangsung.
Biasanya, latihan akan dimulakan dengan aktiviti pemanasan badan untuk mengurangkan risiko daripada mengalami sebarang kecederaan. Ketua pasukan akan memberi maklumat ringkas sebelum memulakan sesi latihan.
Sesi latihan biasanya berlangsung selama satu jam setengah dan mempunyai masa rehat sendiri setiap sesi iaitu kira-kira dalam satu minit antara sesi. Hal ini supaya ahli pasukan dapat berehat sebentar dan mengumpul tenaga sebelum meneruskan sesi latihan yang seterusnya.
Walaupun masa latihan agak singkat, namun semua ahli kumpulan memberi kerjasama yang baik ketika melakukan latihan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain jika ada ahli pasukan menghadapi kesusahan. Setiap ahli pasukan juga sering memberi semangat dan menyokong ahli yang lain supaya lebih semangat menjalani latihan.
Sebelum mereka menamatkan setiap sesi latihan mereka, mereka akan berkumpul dan memberikan pendapat mereka tentang latihan yang mereka jalankan pada setiap hari tersebut. Mereka akan bergilir-gilir memberikan refleksi mengenai latihan pada hari tersebut.
“Harapan utama pasukan kami ini sudah tentunya adalah untuk menang dan meraih pingat dalam setiap pertandingan yang disertai dan setimpal dengan latihan yang kami sering kami lakukan selama lima hari seminggu. Kami juga ingin memperkenalkan dan menaikkan semula bola baling supaya dikenali oleh orang lain, ” ujar ketua pasukan.
Comments