top of page

Perlawanan Terbuka Mengasah Keunggulan Pemain Bola Tampar Lelaki UUM

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52

Nama: Nurul Nadhirah Binti Zamrei


Buat pertama kalinya, pemain-pemain bola tampar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal berentap di Kejohanan Bola Tampar Terbuka Langkawi Piala LADA 2022 anjuran Persatuan Bola Tampar Langkawi (LAVA) di Kompleks Sukan Langkawi pada awal Julai ini.


Perlawanan terbuka bola tampar anjuran LAVA yang berlangsung pada 1 & 2 Julai 2022 nanti akan menyaksikan keunggulan barisan para pemain bola tampar lelaki dari negeri-negeri di Utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang termasuk juga dari Thailand.


Memandangkan perlawanan kali ini adalah julung kali di bawah anjuran NGO luar, pasukan bola tampar dari UUM yang terdiri daripada atlet-atlet bola tampar sangat meneliti persediaan sebelum melangkah kaki ke kejohanan tersebut. Daryus dari Perlis yang merupakan jurulatih atlet ini, sangat peka dalam menyediakan latihan yang berbentuk taktikal, drilling dan juga fitness. Beliau juga mengadakan perlawanan persahabatan antara pemain UUM bersama pasukan dari luar UUM.


Persediaan yang menjadi keutamaan pasukan UUM adalah melakukan perlawanan persahabatan sebagai latihan yang mampu mengasah kemahiran semasa bermain. Antara teknik yang mereka gunakan ialah serangan bersilang yang dapat mengelirukan pihak lawan.


Sepanjang menjalani tempoh latihan berat bagi menghadapi kejohanan bola tampar, pasukan UUM sudah bertanding dengan beberapa pasukan persahabatan. Antaranya, pasukan Sekolah Menengah Jitra dan guru-guru dari Alor Setar. Bertanding dengan pasukan-pasukan lain membantu pasukan UUM meluaskan pengalaman bermain dalam gelanggang.


Selain itu, pasukan UUM juga turut berkongsi padang dengan pasukan-pasukan hebat yang lain seperti Kelab Bola Tampar Dolkau (Dolkau VC), Kelab Bola Tampar Tarkam (Tarkam VC) dan pasukan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMaP). “Kesemua pasukan ini sangat mencabar kerana mereka membawa permainan yang berbeza. Tetapi apabila bersaing dari segi pengalaman, yang sukar ditandingi adalah pasukan Dolkau VC kerana kebanyakannya ahli pasukan mereka merupakan ahli veteran”, kata Muhammad Iskandar bin Shamsulamran, Senior pasukan bola tampar lelaki


Menerusi perlawanan persahabatan, banyak kelemahan yang telah dikenalpasti dari segi pertahanan dan sebagainya. Jadi dengan perlawanan persahabatan tersebut banyak perubahan yang pasukan UUM dapat lakukan untuk meningkatkan prestasi mereka dalam permainan.


Pemain yang bakal beraksi di padang kejohanan adalah pemain yang dipilih berdasarkan kemahiran luas yang dimiliki dalam sukan bola tampar. Pemain baru tidak terkecuali unuk menjadi pemain utama dalam kejohanan kerana tidak mustahil pemain baru lebih berpengalaman dan berkemahiran.


Pemilihan pemain utama untuk menyertai kejohanan sangat penting agar jurulatih dapat memberi fokus sepenuhnya dalam latihan dan memastikan pemain menguasai teknik-teknik yang praktik. Dalam setiap permainan, kekuatan bukanlah segalanya, sebaliknya perlu bijak praktikkan teknik yang bersesuaian.


Latihan yang berat dan konsisten akan dimaksimakan daripada kebiasaan bertujuan untuk meningkatkan prestasi para pemain supaya mereka berstamina tinggi dan lebih lincah mengawal gerak geri. Penguasaan teknik, perlawanan persahabatan dan juga latihan mingguan sangat penting dan ianya saling berkait rapat. Oleh sebab itu, latihan berat tidak boleh dipandang remeh.


Tidak hanya itu, Daryus juga akan menyusun atur perlawanan persahabatan sebanyak mungkin agar pasukan dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan diri masing-masing dan dalam pasukan. Jadi dalam tempoh latihan ini, pasukan masih berpeluang untuk memperbaiki segala kekurangan supaya dapat dielakkan semasa perlawanan terbuka di kejohanan nanti.


Perlawanan persahabatan membantu pasukan mempunyai hubungan yang kuat sebagai satu pasukan. Kefahaman yang dibina dalam pasukan banyak menyumbang kepada komunikasi yang baik dan berkesan semasa perlawanan. Kunci komunikasi terletak kepada Setter pasukan kerana mereka digelar sebagai King of The Court. Kebiasaannya Setter akan berkomunikasi melalui bahasa isyarat yang diberikan melalui gerakan jari mereka.


Komunikasi adalah kunci utama dalam sukan bola tampar memandangkan pasukan akan berada dalam kedudukan bersebelahan walaupun memegang posisi berlainan dalam gelanggang. Pemain akan berkedudukan tiga orang di barisan hadapan dan tiga orang lagi di barisan belakang. Pemain barisan hadapan berperanan sebagai penyerang manakala pemain barisan belakang sebagai pertahanan.


Namun peranan ini tidak semestinya dituruti ketika bermain. Pemain belakang juga boleh menyerang dengan mengikut syarat yang tertentu, manakala pemain hadapan juga berpotensi untuk melakukan pertahanan dengan memblok setipa serangan daripada pihak lawan.


Menghampiri seminggu untuk menyertai kejohanan, latihan akan diminimumkan dan tidak melakukan latihan berat. Para pemain hanya perlu besiap sedia mental dan fizikal menghadapi perlawanan. Latihan yang diminimumkan dapat mengelakkan pemain mengalami kecederaan sebelum menghadapi perlawanan. Kecedaraan pemain semasa latihan sebaiknya perlu dielakkan agar tidak menjejaskan prestasi individu dan juga dalam pasukan.


Jurulatih hanya akan memfokuskan pemain dengan latihan ringan dan teknik-teknik baru yang praktik untuk digunakan semasa perlawanan. Latihan ringan sangat penting untuk merehatkan otot pemain dengan secukupnya sebelum digunakan secara maksima pada hari kejohanan nanti.


“Melalui situasi terkini, latihan bola tampar semakin terbatas disebabkan masa yang terhad untuk melakukan latihan,” kata Iskandar. Menurutnya, pada hari kebiasaan latihan akan dijalankan selama dua jam bagi setiap sesi. Latihan indoor akan dijalankan setiap hari Isnin dan Rabu pada waktu malam. Self training pula akan dilakukan setiap petang di di court outdoor.


Tambahan pula, kebanyakan gelanggang di UUM diguna pakai setiap hari oleh pelajar-pelajar dari pelbagai inasis untuk melakukan latihan bagi Karnival Sukan Siswi dan Karnival Sukan Mahasiswa UUM (KASUMA) 2022. Kedua-dua karnival sukan ini telah berlangsung bermula tarikh 31 Mei hingga 28 Jun 2022 iaitu selama empat minggu.


Latihan yang sebelum ini berlangsung seminggu sekali atau dua kali terpaksa ditangguh bagi memberi ruang kepada latihan KASUMA dan Sukan Siswi. Walaubagaimanapun, pasukan UUM masih tetap mampu berentap dalam kejohanan yang berlangsung di Langkawi nanti menerusi pengalaman-pengalaman lepas semasa menyertai perlawanan terbuka anjuran Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kulim.


Comments


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page