top of page

PROGRAM MOTIVASI JADI TUMPUAN, BANTU SAYANG DIRI SENDIRI

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52

Oleh: Yusmarina Rosdiana Binti Mohd Rosdi


Sintok, 22 April 2022: Kelab Pengurusan Eksekutif Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan program motivasi yang bertajuk“ Enrich Self Positivity” secara dalam talian melibatkan 305 pelajar. Mohd Khairone Md Khatidin, pakar kaunseling UUM dijemput untuk menjadi penceramah dalam program ini.


Objektif utama program ini ialah memberi pendedahan secara umum kepada pelajar untuk sentiasa memiliki pemikiran yang baik serta positif terhadap diri sendiri.


Dalam program yang berlangsung selama dua jam ini, penceramah mengemukakan petua yang berguna kepada pelajar untuk membina motivasi baharu dalam diri. Motivasi yang dilahirkan dapat membantu pelajar untuk menyayangi diri sendiri.


“Seseorang yang positif haruslah mempunyai pandangan yang jelas tentang arah tuju kehidupan”, kata penceramah. Menurut kenyataan tersebut, diri kita pada masa sekarang merupakan pantulan untuk kehidupan akan datang berlandaskan matlamat yang ingin kita tuju.


Menurut beliau lagi, pelajar tidak boleh mudah berputus asa mengharungi rintangan yang berlaku dalam kehidupan ini. Untuk mengelakkan kekecewaan dalam kegagalan yang dihadapi, pelajar seharusnya bijak untuk mengawal sesuatu pengharapan.


Perkongsian petua yang menarik dari penceramah graduan kaunseling ini sangat sinonim dengan situasi yang dialami oleh seorang pelajar. Oleh yang demikian, pelajar tidak berasa kekok atau janggal untuk memahami konteks yang disampaikan.


Sesi bual bicara diakhiri dengan sesi soal jawab. Terdapat beberapa pelajar yang mengambil peluang untuk mengajukan soalan berkaitan permasalahan yang mereka hadapi.


“Bagaimanakah cara untuk kita mengawal emosi yang keterlaluan, kerana ia merosakkan hubungan saya dengan orang lain?” kata salah seorang peserta yang menghadiri program ini.


Menurut penceramah graduan kaunseling tersebut, emosi dapat dikawal dengan melakukan latihan emosi. Sebagai seorang manusia, kita harus menerima emosi dengan baik dan tidak perlu untuk melawan.


Program bicara santai ini sangat membantu peserta untuk kekal aktif mendengar dengan baik. Walaupun program ini berlangsung secara dalam talian menggunakan aplikasi Webex, kehadiran para pelajar amat dihargai.


Penglibatan yang memberangsangkan dari peserta memberikan keyakinan kepada pengarah program supaya program sebegini perlu dianjurkan lagi pada masa hadapan.


“Secara peribadi, program sebegini seharusnya diberi penekanan kerana saya lihat pelajar sekarang sangat kurang menitikberatkan soal penjagaan kesihatan mental dalam diri masing-masing,” kata pengarah program, Nur Shafiqah.


Comments


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page