top of page

“SABUK KARATE” TAKHTA DI PINGGANG SHOTOKAN UUM

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52

Oleh: MUHAMMAD FAISHAL BIN AYOB

Karate salah satu seni mempertahankan diri yang terkenal di seluruh dunia mempunyai dua aliran yang paling utama iaitu Karate Shotokan dan Karate Goju-Ryu. Malaysia mengamalkan Karate aliran Shotokan termasuklah di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pelajar diajar oleh sensei (jurulatih) yang memegang Black Belt.

Hari Penggedran Karate UUM dijalankan pada hujung semester setiap tahun oleh Persatuan Karate UUM bertujuan untuk menilai sendiri pelajar mereka tentang apa yang telah dipelajari dan dilatih untuk tempoh waktu hampir dua bulan.

Mohd Dzulkiflee Emmauel Bin Abdullah selaku Setiausaha Kelab Shotoshinkai Kedah, jurulatih Karate Polis Kedah dan selaku jurulatih Karate PDRM Malaysia telah dijemput hadir selaku panel penilai Hari Penggedran Karate UUM.

Semasa temu bual bersama beliau, Dzulkiflee ada menyatakan bahawa dia adalah panel penilai bagi UUM dan UNiMAP. Menurutnya “pihak universiti sememangnya menjemput saya selaku penilai tetap atas dasar pengetahuan yang luas dalam Karate yang sudah lebih dari 10 tahun”.

Hari Penggredan Karate UUM dijalankan secara bersemuka di dua lokasi berbeza sama ada di Dewan Muadzam Shah (DMAS) atau di Dewan Tan Sri Othman (TSO) setiap tahun bergantung kepada kekosongan dewan.

Selain itu, Dzulkiflee mengatakan bahawa penggredan karate banyak dilakukan di kelab luar dari kampus universiti. “selain di kampus, penilaian ini ada juga dijalankan oleh kelab-kelab luar contohnya di Kelab Shotoshinkai Kedah, ada juga di pusat latihan Karate swasta yang lain” katanya.

Terdapat beberapa tujuan tentang mengapa penggredan perlu dilakukan kepada pelajar selain untuk menilai kefahaman pelajar tentang apa yang dipelajari mereka sepanjang sesi latihan lebih dari dua bulan.

Kata Dzulkiflee “grading day ini dibuat bukan hanya kita nak lihat apa yang dah mereka kuasai dalam Karate tetapi kita nak lihat adakah pelajar faham tujuan teknik itu ditunjuk ajar, bila teknik itu boleh digunakan dan apa teknik berlawan yang sesuai dengan keadaan ketika hendak bertarung”.

Ketika ditemu bual, beliau ada menyatakan elemen yang akan dinilai oleh panel agar pelajar memperoleh gred yang baik dan lulus ujian tersebut selain dari gerakan yang kemas dan tajam.

Menurutnya “pelajar yang akan dinilai biasanya dilihat melalui dua acara yang berlainan iaitu Kata dan Kihon, apa yang penting untuk pelajar agar mampu untuk diberi nilai yang baik oleh panel adalah panel hendak melihat asas, kekuda, tenaga dan fokus mereka dalam menyampaikan Kata dan Kihon”.

Kihon merupakan gerakan asas dalam karate yang bermaksud teknik dasar bagi seni mempertahakan diri Karate manakala Kata pula merupakan satu bentuk pergerakan dalam Karate yang menggabungkan beberapa siri gerakan dalam satu masa dan dipersembahkan kepada panel penilai.

Tambah beliau lagi, “apa yang dimaksudkan saya dengan kekuda itu adalah bengkokan kaki, arah kekuda tersebut dan mengenai tenaga adalah saya nak mendengar ‘kiai’ pelajar tersebut iaitu jeritan mereka semasa melakukan Kihon dan Kata untuk kita tengok pelajar itu mengeluarkan tenaga mereka melalui pernafasan”.

Di samping itu, Ang Shu Kai selaku pemegang brown belt 1st Kyu ada menjelaskan mengenai sistem gred dalam Karate bermula dari yang paling rendah hingga yang tertinggi dalam hierarki Karate.

Katanya “Karate bermula dengan tali pinggang putih yang mana sebagai pelajar kita tak perlu penggredan namun untuk naik ke tahap seterusnya iaitu hijau dan ke atas barulah penggredan akan dijalankan”.

“Kita akan bermula dengan tali pinggang putih kemudian hijau, kuning, oren, biru, ungu, coklat dan akhir sekali tali pinggang hitam. Untuk coklat akan ada empat tahap dan hitam akan ada sepuluh tahap” tambahnya lagi.

Sebagai seorang pelajar senior dalam Karate yang sudah bergelar Senpai, Ang Shu Kai mengatakan bahawa sesiapa sahaja boleh mendapatkan peringkat belt yang tinggi dalam masa yang singkat bergantung kepada kemampuan mereka.

Menurut beliau “saya mula sertai Karate pada usia 13 tahun dan dapatkan Brown Belt pada usia 16 tahun, tetapi pada waktu itu ada dalam kalangan rakan saya yang sudah pun menerima Black Belt mereka ketika seusia dengan saya dan ada juga yang muda dari saya tetapi dah berada atas dari saya. Untuk itu, ianya adalah bergantung kepada individu itu sendiri, kalau mereka seorang yang sangat kompeten lagi awal mereka akan naik ranking” tambah beliau lagi.

Semasa ditemu bual, Ang Shu Kai mengatakan bahawa penggredan yang dijalankan bagi setiap ujian untuk naik ke tali pinggang yang lebih tinggi itu sangat sesuai dengan tahap kesukarannya. Katanya “semakin kita nak naik ke ranking yang lebih atas semakin banyak yang kita perlu untuk persembahkan dalam Kata dan Kihon contohnya ketika belt putih untuk naik ke belt hijau atau kuning hanya perlu tiga jenis Kihon tetapi jika belt ungu hendak naik ke belt coklat mungkin akan perlu sembilan Kihon”.

Selaku salah satu seni mempertahankan diri yang kukuh dan mempunyai nilai dalam dunia kepolisan, Karate tidak akan pernah dinilai secara membuta tuli oleh panel penilai demi menjaga kualiti sukan tersebut.

Akhir sekali, mempelajari Karate bukanlah diguna pakai untuk menyakiti tetapi untuk mencipta jati diri, disiplin dan menjaga diri dari segala bahaya sebagai persiapan berjaga-jaga.


Commentaires


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page