
Oleh : Muhammad Akmal bin Mohammad Hashim (278122)
Email : muhammad_akmal5@smmtc.uum.edu.my
Silat seni gayong merupakan sebuah khazanah warisan yang masih kekal teguh diamalkan dalam kalangan masyarakat walaupun berdepan dengan ancaman tidak lagi diamalkan seiring dengan peredaran zaman menuju ke arah kemodenan.
Kendatipun begitu, masih terdapat ruang dan peluang bagi silat gayong untuk terus subur dalam kalangan masyarakat. Buktinya, silat gayong masih menjadi pilihan para pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan Persatuan Silat Seni Gayong Serantau Universiti Utara Malaysia (PSSGSUUM) menerima sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Silat seni gayong atau lebih sinonim dengan panggilan silat gayong bukan merupakan sukan utama di Malaysia. Oleh sebab itu, terdapat ancaman bahawa sukan ini semakin hari semakin dilupakan dan tidak lagi diamalkan oleh generasi muda. Namun, silat gayong merupakan aktiviti yang sangat dekat dalam diri masyarakat bagai isi dengan kuku terutamanya bagi masyarakat melayu pada suatu ketika dahulu.
Silat gayong diasaskan oleh Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim, cucu kepada Daeng Kuning. Silat gayong merupakan salah satu bentuk seni mempertahankan diri namun silat gayong juga dianggap sebagai sebuah sukan kerana melibatkan pergerakan-pergerakan yang bersifat fizikal yang membantu pengekalan kecerdasan tubuh badan. Silat gayong mula dikembangkan di Tanah Melayu sekitar tahun 1948 dan berjaya didaftarkan pada 22 Oktober, 1963 atas nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Legasi silat gayong di UUM diteruskan oleh PSSGSUUM. PSSGSUUM memainkan peranan yang besar dan menjadi tulang belakang dalam memastikan silat gayong terus kekal diamalkan dalam kalangan pelajar UUM. PSSGSUUM merupakan sebuah persatuan yang bernaung di bawah Pertubuhan Silat Seni Gayong Serantau Kedah. Jurulatih-jurulatih yang mengendalikan silat gayong di dalam PSSGSUUM adalah jurulatih-jurulatih yang mendapat tauliah daripada Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PPSGM) dan mempunyai pengalaman mengajar yang cukup luas.
PSSGSUUM dipengerusikan oleh Mohamad Izzat dan timbalan pengerusi bagi PSSGSUUM ialah Norhasmira. Sehingga kini, PSSGSUUM memiliki jumlah keahlian aktif sekitar 200 sehingga 250 ahli. Dalam usaha untuk menghebahkan berita-berita serta aktiviti yang melibatkan silat gayong di dalam UUM, PSSGSUUM mengambil pendekatan yang progresif dengan menggunakan pelbagai medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Telegram dan laman web Hal Ehwal Pelajar (HEP).
PSSGSUUM memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk memastikan silat gayong kekal relevan dalam kalangan pelajar UUM seiring dengan arus pemodenan kini. Menurut presiden persatuan, Mohamad Izzat berkata “matlamat utama penubuhan persatuan ini adalah bagi memastikan pelajar-pelajar UUM mendapat pendedahan terhadap sukan silat gayong agar ianya tidak lapuk ditelan zaman.”
Tambahnya lagi, PSSGSUUM bergiat aktif dalam usaha mempromosikan silat gayong dalam kalangan pelajar di UUM. “Persatuan Silat UUM sudah bergiat aktif dalam mempromosikan silat gayong di UUM sebelum berlaku pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan lagi” katanya lagi.
Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PSSGSUUM dalam mempromosikan silat gayong dalam kalangan pelajar adalah seperti terlibat secara aktif dalam demonstrasi persembahan silat gayong. Mohamad Izzat berkata, “Persatuan Silat UUM sering menerima jemputan daripada pihak UUM dan persatuan-persatuan lain di UUM untuk melakukan demonstrasi persembahan seni silat gayong dalam majlis yang dianjurkan mereka”.
Aktiviti lain yang melibatkan PSSGSUUM adalah seperti melaksanakan sesi latihan intensif secara berkala. Latihan intensif ini terbuka kepada semua pelajar UUM yang berminat untuk mempelajari seni silat gayong. Inisiatif PSSGSUUM mengadakan latihan intensif ini secara percuma adalah bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar UUM untuk melibatkan diri dalam aktiviti ini.
Selain itu, inisiatif PSSGSUUM untuk menarik minat lebih ramai pelajar terlibat dengan silat gayong adalah dengan mengadakan program di luar UUM. Menurut timbalan presiden, Norhasmira berkata “bukan sahaja program di dalam kampus, Persatuan Silat UUM turut mengadakan program di luar kampus iaitu seperti mengadakan kem latihan silat gayong di Gunung Jerai, Kedah”.
Tambahnya lagi,” PSSGSUUM sudah beberapa kali menganjurkan kursus kejurulatihan di mana program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan jurulatih-jurulatih yang berada di seluruh Negeri Kedah”. Penganjuran kursus kejurulatihan ini bertepatan dengan matlamat PSSGSUUM untuk mempromosikan UUM sebagai pusat pengembangan ilmu silat seni gayong.
Seterusnya, PSSGSUUM turut memberikan komitmen dalam menjayakan usaha sama bersama dengan unit seni bela diri dalam aktiviti kokurikulum. Menurut presiden persatuan, Mohamad Izzat berkata “barisan kejurulatihan dan ahli PSSGSUUM turut melibatkan diri mereka dalam memberi bantuan sepanjang aktiviti kokurikulum silat gayong berlangsung”. Hal ini demikian memperlihatkan kesiap-siagaan PSSGSUUM dalam memastikan silat gayong terus subur dalam kalangan pelajar UUM.
Dalam konteks yang sama, usaha PSSGSUUM dalam memastikan silat gayong terus mendapat perhatian pelajar UUM tidak terhenti setakat itu. Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), para pelajar menjalani proses pembelajaran secara dalam talian. Oleh sebab yang demikian, tiada aktiviti bersemuka dijalankan. Kendatipun begitu, PSSGSUUM tetap bergiat aktif dalam menjalankan pelbagai program secara dalam talian.
Antara program yang dijalankan oleh PSSGSUUM adalah seperti mengadakan forum berkaitan silat seni gayong secara dalam talian. Presiden persatuan, Mohamad Izzat berkata “sewaktu di dalam tempoh PKP, persatuan silat turut mengadakan program seperti forum yang berkaitan dengan silat seni gayong. Program ini dilaksanakan adalah bertujuan bagi memastikan minat pelajar UUM terhadap silat gayong tidak pernah luntur dan kami menerima maklum balas yang sangat baik daripada peserta program yang menyertai program tersebut”.
Sewaktu dalam tempoh PKP, PSSGSUUM turut mengadakan program melukis poster yang bertemakan silat seni gayong. Menurut biro kesenian dan kebudayaan, Nur Najahada Athira “pertandingan melukis poster ini kami adakan bagi memastikan persatuan silat UUM kekal aktif walaupun aktiviti fizikal tidak dibenarkan untuk diadakan. Kami sentiasa komited untuk melaksanakan program-program yang sesuai untuk dijalankan dalam tempoh yang mencabar ini bagi memastikan silat gayong dapat bergerak seiring dengan sukan-sukan lain”.
PSSGSUUM sememangnya berusaha keras dan menunjukkan komitmen mereka dalam memastikan silat gayong tidak hilang dalam kalangan pelajar UUM. Presiden persatuan, Mohamad Izzat berkata “harapan sebagai presiden persatuan adalah menginginkan lebih banyak penglibatan daripada mahasiswa atau mahasiswi UUM untuk menyertai silat seni gayong bagi memastikan seni persilatan yang telah lama wujud ini tidak lenyap ditelan zaman. Tanpa kita yang meneruskan peninggalan adat istiadat ilmu persilatan melayu ini maka akan hilang suatu khazanah yang bernilai yang diwariskan kepada kita”.
Realitinya, arus kemajuan dan kemodenan akan terus berlaku seiring dengan peredaran zaman. Masyarakat khususnya golongan muda seharusnya lebih cakna terhadap kepentingan untuk memelihara khazanah peninggalan orang terdahulu yang sangat bernilai seperti ilmu persilatan supaya martabat ilmu persilatan akan dapat diangkat semula dan terpelihara kewarisannya.
Comments