top of page

Werewolf UUM bersinar, cipta rekod yang baik di MSL

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52

Oleh: Siti Wan Nur Atirah Binti Ramlee

Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghantar 2 pasukan bola jaring ke kejohanan bola jaring terbuka Malaysia Sport League (MSL) iaitu pasukan Werewolf A dan Werewolf B dengan kekuatan pasukan seramai 22 orang pemain termasuk 2 orang pengurus.

Pasukan bola jaring yang diwakili oleh Werewolf A kelihatan unggul dan bersinar di peringkat daerah Kubang Pasu kerana telah berhasil mencipta rekod yang baik dengan menduduki tempat ketiga pada perlawanan tersebut.

Penglibatan pasukan bola jaring UUM dalam MSL yang bertempat di Kompleks Sukan Jerlun, Mukim Sanglang, Kubang Pasu, Kedah merupakan satu permulaan yang baik kepada pasukan bola jaring UUM untuk mengorak langkah sebagai juara.

MSL yang menggunakan sistem liga ini adalah bertujuan untuk menghantar pasukan yang layak dan berpotensi mewakili daerah ke peringkat negeri Kedah.

Berdasarkan matlamat yang hendak dicapai, pasukan bola jaring UUM mengambil bahagian dalam MSL adalah untuk mengukur pencapaian dan mendapatkan pelbagai pengalaman bagi menguatkan stamina serta merangka strategi permainan untuk kejohanan bola jaring yang akan datang seperti Sukan Universiti Utara Malaysia (SUKUUM), Kejohanan Sukan Siswi, Karnival Sukan Mahasiswa (KASUMA), Sukan IPT (SUKIPT) dan sebagainya.

Kejohanan bola jaring terbuka MSL yang diadakan pada 14 Mei 2022 bersamaan hari Sabtu itu telah melibatkan sebanyak 12 pasukan yang dipecahkan kepada 3 kumpulan. Dengan usaha yang berlipat kali ganda daripada pasukan Werewolf A UUM, hal ini telah melayakkan mereka mara ke perlawanan akhir.

Manakala Werewolf B UUM memperolehi kemenangan pada perlawanan pertama dan tidak memperolehi tuah pada perlawanan seterusnya sehingga menyebabkan pasukan Werewolf B tidak layak mara ke perlawanan akhir.

Pasukan Werewolf A di bawah seliaan Nurnadiah Natasya Binti Saiful Edris telah mencapai prestasi yang baik kerana telah berjaya menjuarai kumpulan iaitu kumpulan B dengan mengalahkan 3 pasukan lawan yang tidak kurang hebatnya. 3 pasukan lawan itu terdiri daripada TATAR Princess, Victory Ours dan Pink Panther.

Disebabkan MSL pada kali ini telah membuka syarat dan kategori penyertaan kepada terbuka, hal ini dapat menguji kekuatan pasukan bola jaring UUM di mana pasukan itu telah berentap bersama pasukan yang berbeza latar belakang, stamina, prestasi serta corak latihan.

Antara pasukan-pasukan yang terlibat adalah seperti pasukan dari Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), Institut Pendidikan Guru Darul Aman (IPDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kaki tangan UUM dan banyak lagi.

Kepelbagaian latar belakang daripada pasukan yang menyertai MSL ini telah membolehkan pasukan Werewolf UUM meningkatkan pencapaian dengan melihat strategi dan corak permainan pasukan lawan sebagai tonggak kemenangan untuk perlawanan yang akan datang.

Pada perlawanan akhir, Werewolf A telah bersaing dengan 3 pasukan lawan bagi mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga.

Persaingan sengit berlangsung dan buat julung kalinya Werewolf A telah meraih kemenangan pada tahun 2022 ini dengan memperolehi tempat ketiga pada perlawanan akhir MSL. Pencapaian ini telah menjadi khabar berita gembira yang telah dinanti-nantikan oleh seluruh warga UUM.

Kemenangan dan pencapaian yang baik ini telah membuktikan usaha pasukan bola jaring UUM membanting tulang dalam usaha mencapai rekod yang baik. Komitmen pasukan dalam menjalani latihan demi latihan bagi meningkatkan stamina, mendisiplinkan diri dalam menjaga tabiat pemakanan sebagaimana yang telah diarahkan oleh jurulatih serta ketua pasukan telah membuahkan hasil.

Tidak dilupakan juga doa-doa dan sokongan yang padu daripada warga UUM yang telah memberikan semangat dan motivasi kepada pasukan bola jaring UUM yang dikenali sebagai pasukan Werewolf.

Pasukan Werewolf A telah mendapat tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai berupa replika cek sebanyak RM300. Johan dan naib johan bakal mewakili negeri Kedah iaitu pasukan DYC dan pasukan TATAR Queen.

Penutupan kejohanan bola jaring MSL itu berakhir pada 5.30 petang dengan sesi bergambar bersama semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan bola jaring tersebut.

Pasukan bola jaring UUM berazam akan terus menggandakan usaha serta memperbaiki kekurangan yang ada untuk kekal berdaya saing dalam mengharumkan nama UUM bukan sahaja di seluruh Malaysia bahkan bersinar di persada dunia.


Kommentare


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page