Oleh: Nurul Nadhirah Binti Zamrei
Sintok, 18 April 2022: Setiap kali
menyambut Ramadan sudah menjadi tradisi masyarakat Melayu menghidangkan bubur lambuk sebagai moreh. Kelainan proses penyediaan bubur lambuk yang disediakan oleh Jamil Mat adalah sangat teliti dari permulaan hinggalah proses pembungkusan sebelum diedarkan kepada orang ramai.
Hari ini, tidak ramai yang mempraktikkan ilmu penyediaan yang tepat untuk membuat bubur lambuk walaupun ianya sudah menjadi tradisi setiap tahun apabila menyambut bulan Ramadan.
"Pembuatan bubur lambuk oleh saya sama seperti yang orang lain tetapi ada cara saya sendiri yang membuatkan bubur lambuk tahan lebih lama dan sedap", kata En. Jamil Mat yang disapa sebagai Chef Jamil ketika ditemu bual semasa bengkel resepi bubur lambuk bersama beliau.
Oleh hal demikian, Pusat Budaya Dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif untuk menjalankan Bengkel Resipi Bubur Lambuk bersama En. Jamil Mat dengan tujuan untuk berkongsi cara yang praktik dan tepat dalam proses penyediaan bubur lambuk.
Bengkel ini telah dijalankan secara langsung di Facebook rasmi PBS iaitu Pusat Budaya UUM pada jam 10 pagi.
Chef Jamil bercerita bahawa resipi bubur lambuk beliau hanya menggunakan satu bahan istimewa yang tidak ramai orang gunakan iaitu udang kering yang dikisar manakala bahan yang lain-lainnya tidak berubah.
"Sebenarnya bubur lambuk yang saya buat memang berasaskan daging, kerana kalau kita buat menggunakan ayam, itu akan menjadi bubur ayam bukan bubur lambuk" ulas Chef Jamil.
Perkara penting yang dikongsikan oleh Chef Jamil ialah proses penyediaan bahan dan pembungkusan bubur lambuk.
Bahan mentah untuk menghasilkan bubur lambuk tidak boleh disediakan terlalu awal beberapa hari sebelum memasak kerana ingin menjaga kesegarannya.
Bubur lambuk yang siap dimasak kebiasaannya akan terus dimasukkan ke dalam bekas serbaguna untuk diagihkan kepada orang ramai.
Namun, pantang larang daripada Chef Jamil, beliau akan memastikan bubur lambuk dalam keadaan sejuk sebelum bekasnya ditutup.
Hal ini untuk menjaga ketahanan bubur lambuk. Chef Jamil berpesan bahawa wap-wap panas yang terkumpul apabila menutup penutup bekas dalam keadaan panas akan membuatkan bubur lambuk cepat basi.
Ketika bengkel itu diadakan, staf-staf PBS dan semua pelajar praktikal dari pelbagai negeri yang menjalani praktikal di PBS UUM melibatkan diri sepenuhnya dari permulaan hingga akhir bengkel tersebut.
コメント