Oleh Nur 'Athirah Syuhada
Emel:

Sintok, 23 April 2022: Persatuan pengurusan Pembangunan (BDM) dan Persatuan Tabung Haji UUM (TAHA) telah bekerjasama dalam mengadakan sebuah program ceramah berkaitan “Keistimewaan 10 Malam Terakhir” bersempena Program Ihya’ Ramadhan yang dijalankan secara dalam talian melibatkan 828 peserta.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan tentang kelebihan bulan Ramadhan, berkongsi amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan dan meningkatkan kefahaman tentang sains di sebalik perspektif Islam dalam kalangan pelajar.
Program ini dimulakan dengan perkongsian beberapa hadith berkaitan dengan kewajipan setiap umat Islam untuk beribadah kepada Allah SWT.
Pegawai Tadbir Pusat Islam UUM, Muhammad Syazwan bin Menon menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada semua umat Islam agar bersungguh-sungguh dalam beribadah.
Kenyataan penceramah tersebut sangat sinonim dengan sebuah hadith yang berbunyi “Bersungguh-sungguhlah kamu dalam mencari Lailatul Qadar dalam hari-hari yang ganjil”
Penceramah menerangkan bahawa hadith yang telah disebutkan menunjukkan Rasulullah SAW menyeru semua umat Islam agar bersungguh-sungguh dalam mendapatkan Lailatul Qadar.
Di samping itu, penceramah tersebut turut berkongsi tentang hadith Rasulullah SAW yang berbunyi “Beribadahlah kepada Allah semampu kamu sahaja”.
Menurut penceramah tersebut, hadith ini bermaksud bahawa umat Islam diseru untuk beribadah kepada Allah namun jika tidak mampu ataupun penat maka berehatlah.
“Pada penghujung bulan Ramadhan, kita dilimpahi dan dipenuhi dengan keberkatan yang tak terhitung nilainya” kata penceramah, Muhammad Syazwan.
Penceramah juga menambah, “Malam-malam ganjil atau Lailatul Qadar adalah malam yang amat disayangi dan selalu dirindui Rasulullah kerana ia hanya datang sebulan dalam setahun”.
Selain itu, penceramah juga berkata bahawa Lailatul Qadar juga merupakan malam yang paling indah dan mulia berbanding 1000 malam yang lain.
“Pada malam Ramadhan jugalah Allah SWT telah menurunkan kitab suci Al-quran”, tambah Muhammad Syazwan.
Penceramah juga tidak lupa untuk memberikan nasihat terakhir sebelum program tersebut tamat. Katanya, “Pada bulan yang mulia ini, jangan lupa untuk mengajak rakan-rakan anda semua untuk beribadah bersama-sama.”
Comments