top of page

FORUM PERDANA: Memberi Anjakan Paradigma Kepada Gaya Pemikiran Pelajar

Writer's picture: Identiti V52Identiti V52

Oleh: Muhammad Akmal bin Mohammad Hashim (278122)


Sintok, 15 April 2022. Kelab HEP Kluster Kebajikan dan Kemahiran Nilai Tambah telah melaksanakan sebuah Forum Perdana Ramadhan Mencari Sinar Lailatul Qadr yang berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Webex yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Utara Malaysia dengan menjemput penceramah bebas dan ustaz selebriti iaitu Wan Dazrin Wan Din atau lebih dikenali dengan sapaan Da’i Wan.

Moderator program, Muhammad Syawal bin Sharizal, berkata forum perdana ini adalah dilaksanakan bertujuan bagi perkongsian ilmu dalam menyuntik kesedaran para peserta program untuk memperbaiki diri dan ibadah sepanjang mengharungi bulan Ramadhan dan berkongsi amalan-amalan sunnah yang boleh di amalkan ketika mengharungi sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan dan secara tidak langsung dapat mencari sinar lailatul qadar.

Diawal perkongsiannya, Da’i Wan memperingatkan para peserta program adalah tidak guna dan adalah sia-sia jika sekalipun kita berpuasa pada siang hari atau kita beribadah pada malamnya namun hakikatnya kita berpuasa dalam keadaan banyak melakukan dosa-dosa kering, adalah sia-sia setiap ibadah yang kita lakukan. Hal ini demikian adalah berkaitan dengan kepentingan agar mempunyai kesedaran yang jelas tentang perkara-perkara yang harus dititikberatkan sebelum memberi penekanan khusus terhadap matlamat mencari malam lailatul qadar di sepuluh malam terakhir Ramadhan.

“Apa maknanya malam lailatul qadar apabila kita memperoleh sekalipun jika tidak memperoleh apa-apa disebabkan kita tidak menjaga disiplin ibadah kita, penjagaan mata dalam bab dosa, penjagaan telinga dalam bab dosa dan penjagaan mulut dalam bab dosa,” katanya ketika menerangkan tentang kepentingan untuk mengelakkan diri daripada terus melakukan perbuatan yang mampu mengurangkan pahala yang diperoleh di sepanjang bulan Ramadhan ini.

Selain itu, Da’i Wan turut menyentuh tentang kerugian seseorang individu sekiranya melibatkan diri dengan hiburan dalam kadar waktu yang berlebihan sehingga bertindak lalai untuk mengerjakan perkara-perkara yang seharusnya diberikan keutamaan.

“Saya tahu je apabila kamu bukak Instagram kamu tu, saya tahu kadang tengok kereta, kadang tengok motor, kadang tengok kawan kita, kadang tengok instafamous punya lifestyle dan kalau korang tidak memperbetulkan juga apa lah maknanya jika kalian memperoleh malam lailatul qadar nanti kerana korang telah mengurangkan pahala yang sepatutnya korang boleh dapat selama 83 tahun empat bulan korang hidup,” katanya.

Di samping itu, Da’i Wan turut berkongsikan amalan-amalan sunnah yang boleh diamalkan sepanjang mengharungi sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadhan. Amalan-amalan sunnah tersebut boleh diamalkan bagi tujuan memperbanyakan lagi ibadah sunat dan bertindak sebagai pelengkap bagi amalan fardhu seperti berpuasa, membaca al-Quran dan menunaikan solat fardhu. Menurutnya lagi, individu yang mengamalkan amalan sunnah ini akan memperoleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Mengulas lanjut Da’i Wan berkata, para peserta diminta untuk menitikberatkan soal penjagaan waktu bersahur. Beliau turut memperbetulkan tanggapan sesetengah daripada peserta forum perdana tersebut mengenai waktu yang tepat untuk bersahur kerana kebanyakan daripada peserta mempunyai tanggapan yang salah mengenai waktu bersahur.

“Seterusnya sunnah yang kedua untuk dilakukan yang ramai orang tidak tahu mengenainya iaitu sunnah qailullah” katanya apabila menerangkan tentang sunnah untuk tidur sebentar pada waktu tengah hari yang bertujuan meningkatkan semangat untuk memperkuatkan ibadah pada waktu malam.

Dalam pada itu Da’i Wan memaklumkan, manfaatkan waktu sebelum masuk waktu untuk berbuka puasa dengan memperbanyakkan doa kerana pada waktu tersebut terdapat keberkatan yang memungkinkan segala doa yang dipinta akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Tambahnya lagi, waktu yang mempunyai keberkatan itu seharusnya dimanfaatkan dengan meminta doa segala masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan dan mendapat kemudahan dalam setiap urusan seharian termasuk urusan dalam mencari sinar lailatul qadar.

“Kemudian segerakan berbuka puasa apabila sudah masuk waktu untuk berbuka,” katanya sambil mengingatkan para peserta program untuk berbuka puasa dengan buah kurma atau tamar yang merupakan salah satu daripada amalan sunnah. Beliau menyatakan bahawa tindakan orang yang melewatkan berbuka puasa adalah perbuatan yang tidak bersamaan dengan ajaran yang telah diajarkan oleh nabi Muhammad S.A.W. Beliau turut menasihati agar peserta program tidak bersikap lalai dan alpa dengan mementingkan aktiviti lain sehingga melewatkan berbuka puasa.

Forum perdana ini berlangsung dengan jayanya ditambah pula dengan perkongsian ilmu yang padat serta bermanfaat oleh Da’i Wan membuatkan program ilmiah seperti ini akan dapat terus dianjurkan pada masa akan datang.


Comments


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page