top of page

INTAFF UUM memupuk kesedaran melindungi haiwan

Oleh Madihah Zahira

Emel: madihah_zahira@smmtc.uum.edu.my




“Pelajar Universiti Utara Malaysia pastinya sudah terbiasa dengan haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, bahkan monyet dan lutong. Walaubagaimanapun, perkara itu tidak menjamin mereka mempunyai rasa kasih terhadap haiwan.”


Sintok, 26 April 2022: International Affairs Society Universiti Utara Malaysia (INTAFF UUM) telah menjalankan program bual bicara bersama sebuah Badan Bukan Kerajaan, Malaysia Animal Association yang bertajuk Free Animal: Speak Up because They Can’t. Program ini telah disampaikan oleh presiden organisasi tersebut, Arie Dwi Andika bagi memupuk kesedaran melindungi haiwan dalam kalangan pelajar.


Program ini bertujuan untuk menyuntik rasa simpati terhadap haiwan, dan juga sebagai medium mempromosikan usaha pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan tersebut.


Arie Dwi Andika turut memuji INTAFF UUM yang cakna tentang Malaysia Animal Association serta sedaya upaya mencari dana bagi meneruskan misi pertubuhannya melalui aktiviti jualan merchandise.


“Aktiviti seperti ini sedikit sebanyak akan membantu kami untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan sejak wujudnya pertubuhan ini,” kata Arie Dwi Andika.


“Sasaran utama pertubuhan kami adalah untuk bekerjasama dengan orang awam dalam menghindari kekejaman pada haiwan serta menyebarkan penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015,” tambahnya lagi.


Program yang dijalankan penuh interaktif ini telah sedikit sebanyak membuka pandangan para peserta terhadap isu-isu yang berkait dengan haiwan.


Menemu bual pelajar yang mengikuti program ini, Ainani Nazira berkata, rasa takutnya pada haiwan tidak sepatutnya menjadi punca untuk tidak mengambil peduli kepada hal-hal yang berkait dengan kekejaman haiwan.


“Sebagai seorang yang tidak terdedah kepada kebajikan haiwan, saya dapati program ini mengajar saya perkara asas walaupun saya tidak begitu mesra terhadap haiwan,” katanya lagi.


Peserta yang menghadiri acara bual bicara ini turut menerima pelbagai pengetahuan baru, dari sudut kaedah menjaga haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing serta servis yang disediakan oleh pertubuhan berkenaan.


Menurut pengarah program, Nur Aimi Zuhaida, berjaya menjalankan program ini adalah seperti satu kepuasan buat dirinya sebagai pencinta haiwan.


“Pelajar Universiti Utara Malaysia pastinya sudah terbiasa dengan haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, bahkan monyet dan lutong. Walaubagaimanapun, perkara itu tidak menjamin mereka mempunyai rasa kasih terhadap haiwan,” katanya lagi.


“Kami berharap usaha INTAFF UUM ini akan menghidupkan rasa kasih terhadap haiwan dalam kalangan pelajar UUM sekaligus membantu Malaysia Animal Association mencapai objektif,” kata Nur Aimi Zuhaida.


コメント


"Berita Siswa, Dari Siswa Untuk Siswa"

2022 © KOHORT 52. Dicipta menggunakan Wix.com

bottom of page