Oleh: Ilman Hakimi Mansor
Sintok, 19 April 2022: Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia (PBS UUM) telah menganjurkan ceramah ramadhan “Misi Memburu Lailatul Qadar” yang bersiaran secara langsung dari PBS UUM serta disiarkan di platform Facebook PBS UUM bersama penceramah jemputan yang dikenali sebagai Ustaz Mohamad Moqti Ahmad. Menurut beliau jika kita mendapat keredhaan Allah pada malam ini adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.
Moqti berkata cara untuk kita mempersiapkan diri dalam mencari malam ini adalah dengan menyediakan hati kita yang bersih daripada dosa-dosa dan juga sifat hasad dengan manusia kerana untuk mencapai lailatul qadar itu mestilah diperbaiki hubungan sesama manusia itu dahulu.
Katanya, ibadah untuk mengejar lailatul qadar itu tidak terhad pada ibadah solat sahaja kerana Allah telah menyembunyikan keredhaan-Nya supaya hambanya membuat semua ketaatan dan tidak meremehkan amalan walau sekecil-kecil amalan.
“Tanda-tanda telah mendapat lailatul qadar itu ada dua, yang pertama pada alam ini dan kedua pada hati kita. Pada pagi malam lailatul qadar itu, suhunya sedang serta matahari tidak memancarkan cahaya dengan kuat. Pada hati kita pula, kita akan merasa semakin takut dengan Allah dan akan sentiasa bersemangat untuk beribadat,” katanya ketika menyampaikan ceramah.
Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh salah seorang penonton mengenai apakah tanda-tanda seseorang itu telah mendapat malam lailatul qadar dan bagaimana perasaan setelah mendapatnya.
Tambah beliau lagi, pengalaman mendapat malam lailatul qadar itu adalah berbeza mengikut individu dengan menggunakan contoh imam Nawawi yang melihat cahaya yang terang di dalam rumahnya pada waktu malam ketika berusia tujuh tahun.
Sementara itu, beliau turut menyentuh kembali sebab umat Islam perlu bersungguh-sungguh beribadah bagi mencari malam seribu bulan ini dengan berkata umat Islam tidak perlu beribadah selama 83 tahun seperti bani Israel kerana jika ketemu malam ini maka setiap saat dalam seribu bulan itu dikira sebagai ibadah.
Beliau turut menambah, memburu lailatul qadar juga adalah kerana kita mahu mencari redha Allah atau kita membuat kerana Allah SWT.
Sebelum menutup acara, pengacara majlis Muizzudin Meor Othman mengingatkan penonton supaya terus mengamalkan ilmu yang telah disampaikan penceramah agar sentiasa istiqamah dalam menjalani ibadah Ramadhan.
Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook menerusi ruangan komen telah berkongsi pengalaman beliau dengan menyatakan bahawa penerangan yang diberikan Ustaz Moqti sebagai teliti dan jelas.
Untuk pengetahuan, Ceramah Ramadhan ini merupakan salah satu daripada lapan pengisian bagi program “Rai Ramadhan 2022” yang berlangsung dari 8 hingga 24 April 2022.
Menurut pengeposan di media sosial rasmi Pusat Budaya dan Seni UUM, ceramah ini diadakan kerana malam lailatul qadar merupakan satu malam penting yang terjadi pada bulan Ramadhan, yang dalam Al Qur'an digambarkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan dan juga diperingati sebagai malam diturunkannya Al Qur'an.
Comments