
OLEH : Nik Muhammad Syakirin Bin Nik Zainal Abidin
Emel : nik_muhammad5@smmtc.edu.my
Sintok , 18 April : Da’i Wan pada kunjungannya ke Masjid Badlishah pada hari Isnin bersama – sama dengan para pelajar Universiti Utara Malaysia menyelami ceramah “ surat cinta yang diabaikan” sebaik sahaja selesai solat isya’.
Di Bulan Ramadhan yang mulia ini, seringkali kita alpa dan leka dengan pelbagai ganjaran dan kelebihan yang diberikan Allah s.w.t. “Ramai orang berpandangan apabila berbicara tentang cinta, ini adalah satu perkara yang klise tetapi dalam kehidupan seharian kita sebenarnya sentiasa berkisarkan cinta” Da’i Wan.
Katanya lagi, Kita hidup bernafas hari ini berdasarkan kasih dan cintanya kedua ibu bapa kita, kita berkawan juga atas dasar cinta sesama kawan, ini jelas menunjukkan cinta sangat penting dalam kehidupan sehari hari.
“Seringkali juga kita salah meletakkan rasa sayang,yakni kepada makhluk. Kasih sayang yang mutlak hanya pada Allah, Nabi Muhammad SAW dan jihad kita di jalan Allah,” katanya lagi.
Da’i Wan menasihatkan para pelajar iaitu setiap yang dilakukan akan menjadi pertanyaan di hari akhirat. Oleh hal yang demikian, hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dengan pelbagai amalan yang mulia.
“Namun, apakah surat cinta yang diabaikan ini? “ kata Da’i Wan. Menurut beliau, sewaktu bulan Ramadhan Allah S.W.T telah menurunkan mukjizat teragung yakni Al Quran menjadi panduan umat islam.
Demikianlah yang dimaksudkan sebagai surat cinta yang merujuk kepada kalam Allah yang melengkapi setiap aspek kehidupan. Bukan itu sahaja, di bulan ramadhan yang mulia setiap ganjaran pahala digandakan termasuklah membaca Al Quran.
Sebagai umat Islam, jadikanlah Al Quran sebagai sesuatu yang istimewa dan sentiasa dekat dengan kita. Hal ini kerana dengan mendekati Al Quran kita dapat ketenangan jiwa yang sesungguhnya.
Da’i Wan menceritakan tentang kebiasaan kita mengabaikan perkara bermanfaat sewaktu di bulan ramadhan yang mulia ini seperti beribadat kepada Allah S.W.T. Beliau menasihatkan supaya tidak melakukan hal ini kerana hanya merugikan.
Jelas Da’i Wan ,perkara terbaik dalam bulan ramadhan ialah sentiasa menghindari diri daripada melakukan perkara kemaksiatan dan membuang masa. Sentiasalah dekatkan diri dengan Allah s.w.t agar kita sentiasa dilindungi olehnya daripada terjerumus ke lembah maksiat.
Di zaman belajar, adalah zaman kita akan mengenali siapa diri kita yang sebenarnya, samada berjaya menjadi orang yang berada di landasan yang betul ataupun sebaliknya. Setiap tindakan kita akan menjadi titik tolak siapa diri kita di masa hadapan.
Maka, ambil peluang untuk mempelajari sebanyak mungkin hal-hal agama atau hal yang berfaedah. Sehubungan dengan itu, diri kita akan bertambah baik di hari hari mendatang dan menjadi orang yang membawa manfaat kepada orang lain.
Surat Cinta Yang Diabaikan ini disertai oleh pelajar UUM sendiri sehingga pukul 11:45pm yang dianjurkan oleh kelab PERKIMM UUM. Melalui program seperti ini, pelajar dapat ilmu yang bermanfaat tentang amalan pada bulan Ramadhan.
Comments